Monday, August 9, 2010

Isu BlackBerry: Malaysia kekal bebas, pendirian diumum esok





KUALA LUMPUR, 8 Ogos — Pengguna BlackBerry di Malaysia tidak perlu risau kerana negara akan “kekal bebas” walaupun beberapa negara lain termasuk Arab Saudi sudah mula mengambil langkah memantau penggunan peranti tersebut, kata Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Kementerian itu dijangka mengumumkan pendirian rasmi negara mengenai isu BlackBerry yang menjadi tumpuan global, esok.

Ketika memberikan jaminan “kekal bebas”, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang anak Gandum berkata, kerajaan berharap pengguna di Malaysia akan menggunakan kemudahan ini dengan bertanggungjawab.

“Setiap negara ada keperluan kebudayaan masing-masing.

“Malaysia kekal bebas dan berharap pengguna tidak menyalahgunakan sistem ini,” kata beliau dalam respons ringkas menerusi SMS kepada The Malaysian Insider malam tadi.

Menteri Penerangan, Telekomunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Rais Yatim dijangka menjawab kebimbangan pengguna di negara ini esok.

Laporan Telegraph semalam menyebut Arab Saudi telah memutuskan untuk menggugurkan rancangan melarang komponen BlackBerry Messenger ekoran persetujuan dicapai oleh kerajaan itu dan pengeluarnya Research In Motion (RIM) semalam.

Persetujuan itu melibatkan langkah menempatkan server BlackBerry di Arab Saudi, yang akan membolehkan kerajaan memantau mesej para pengguna, sekali gus menghilangkan kebimbangan pihak berkuasa bahawa perkhidmatan itu boleh digunakan untuk tujuan-tujuan “jenayah”.

Kini servernya terletak di Kanada.

Seorang pegawai kawal sedia Arab Saudi berkata, ujian sedang dijalankan untuk menentukan bagaimana server BlackBerry akan ditempatkan di negara itu.

Penganalisis pula melihat keputusan itu akan membawa implikasi besar ke atas beberapa negara lain termasuk India dan Emiriah Arab Bersatu yang turut mempertimbangkan langkah yang sama.

Pengawal selia industri telekomunikasi Arab Saudi mengarahkan perkhidmatan BlackBerry digantung mulai kelmarin kerana pengeluar peranti tersebut gagal memenuhi syarat-syarat yang dikenakan.

Bagaimanapun itu disambung selepas empat jam terganggu sementara perbincangan diteruskan membabitkan kedua-dua kerajaan dan syarikat pengeluar BlackBerry.

Suruhanjaya Komunikasi dan Teknologi Maklumat (CITC) dalam kenyataannya sebelum ini berkata, penyediaan perkhidmatan BlackBerry tidak memenuhi kriteria kawal selia dan syarat pelesenan yang ditetapkan oleh suruhanjaya itu.

Awal minggu ini, RIM menekankan bahawa perkhidmatan BlackBerry Messenger tidak akan menjejaskan keselamatan.

BlackBerry mempunyai lebih 700,000 pelanggan di Arab Saudi dan 500,000 di UAE, sebuah negara yang kini menjadi hab perniagaan terutama sekali di Dubai.

Indonesia juga sedang mengkaji soal penggunaan BlackBerry.

RIM menguasai pasaran 1.7 peratus penggunaan telefon bimbit di rantau Asia-Pasifik berbanding 48 peratus di Amerika Utara dan 20 peratus di peringkat global.

Sumber:The Malaysian Insider

No comments :

 

Copyright 2015 © Nazrina Hussin. Design by Ayu Barbydol